Kerugian Bagi Wanita Yang Menolak Perkahwinan
Sepertimana yang
diberitakan kepada kita, hari ini terdapat segolongan wanita yang
menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu
bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam
menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus
rumahtangga dan anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela
jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi
kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu
memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan
perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak
menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang
kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita
yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh,
wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan
demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang
berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya
sebutkan di atas tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak
gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam
tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan
sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan
perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia
yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia,
ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk
melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam
masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu
berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam,
orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita
Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama
dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.
Kekurangan
tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak
berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga
lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan
anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi
ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda
Rasulullah:
“Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat
perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga
maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia
kehendaki.”
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia
tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau
sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah,
wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati
suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi
seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha
suami.
Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang
berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah
di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air
susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan
diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh
kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan
dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya
akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi
ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan
dapat tinggal
bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak.
Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan
lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat
pahala seperti pahala syahid. Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan
dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia
akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang
rugi.
Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah
menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah
dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda
Rasulullah saw:
“Apabila datang kepada kamu lelaki yang
beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul
fitnah dan kebinasaan.
Para sahabat bertanya,
“Bagaimana
kalau ia telah berkahwin?”
Jawab baginda,
“Kahwinilah juga
ia (diulang sebanyak tiga kali).”
Begitulah besarnya pahala
bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar
rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari
ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah
memperolehi banyak pahala. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang
isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat
ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan
kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita salehah yang berada
di bawah naungan suami.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar